 |
|
INDONESIA dilanda fenomena ‘demam’ batu akik sejak tahun lalu yang menyaksikan permintaan terhadap batu unik yang digunakan untuk perhiasan diri itu semakin tinggi di pasaran.
Batu akik atau nama saintifiknya, agate merupakan sejenis batuan yang mempunyai pelbagai corak dan warna dan setiap satu daripadanya mempunyai keunikan tersendiri dan tidak sama antara satu sama lain. Ia turut dikatakan mempunyai kuasa mistik dan spiritual.
Bagaimanapun, pandangan itu dibantah beberapa tokoh agama di Indonesia yang menganggap ia merupakan kepercayaan karut dan syirik.
Kegilaan tersebut turut menyebabkan pelombong-pelombong emas dan berlian di negara tersebut kini beralih kepada kegiatan mencari batu akik yang memberikan pendapatan lumayan kepada mereka.
Menteri Perindustrian Indonesia, Saleh Husin mengakui industri batu akik di Indonesia sedang berkembang pesat sejak tahun 2014 disebabkan permintaan yang semakin meningkat.
Menurut beliau, pertambahan bilangan penggemar batu akik di Indonesia menyebabkan batu hiasan itu menjadi fenomena dalam industri perniagaan negara tersebut.
Berikutan itu, beliau mahu industri batu akik di Indonesia dipertingkatkan lagi kerana ia berpotensi untuk pergi lebih jauh hingga ke peringkat antarabangsa.
Batu akik boleh dijual di pasaran Indonesia pada harga sehingga Rp1 juta rupiah (RM273) bergantung kepada jenis dan kecantikan batu akik tersebut.
Salah seorang pelombong batu akik yang merupakan pelajar Kelas III SMA Negeri 8 Muara Sahung, Aprizal menjadikan kawasan Luang Batu Api di Bengkulu sebagai lokasi untuknya melombong batu akik.
Luang Batu Api cukup terkenal sebagai salah satu lokasi perlombongan batu akik yang popular dalam kalangan masyarakat Indonesia.
“Setiap hari cuti atau pulang sekolah pasti saya akan ke Luang Batu Api,” kata Aprizal, anak kelima daripada enam beradik itu.
Namun, batu akik di Luang Batu Api lebih terkenal dengan jolokan Batu Akik Muara Sahung kerana Luang Batu Api satu ketika dahulu adalah salah satu daripada desa lama Muara Sahung.
Hingga tahun 2010, majoriti warga Muara Sahung dan sekitarnya menjadi pelombong emas di kawasan Tumutan Tujuh iaitu sebuah lembangan yang mengambil masa selama satu hari untuk sampai dengan berjalan kaki.
Namun, sejak harga batu akik melambung tinggi, para pelombong emas di situ beralih menjadi pelombong batu akik.
“Mencari batu akik lebih baik daripada emas, apalagi lokasi penggalian batu akik juga lebih dekat,” kata Aprizal.
Lebih menarik, cuma kira-kira 0.005 kilogram emas boleh diperoleh dengan melombong selama dua hari di kawasan tersebut sedangkan Aprizal mampu untuk memperoleh pendapatan berlipat kali ganda menerusi penjualan batu akik yang boleh didapati hanya dalam sehari.
Seorang lagi pelombong batu akik, Hadis memberitahu, jika bernasib baik, hasil pendapatan daripada melombong batu akik dalam sehari boleh digunakan untuk membeli sebuah motosikal.
“Di sini sudah biasa ditukar batu akik dengan sebuah motosikal,” katanya.
Sebahagian besar pelombong batu akik di kawasan itu menjual bahan mentah atau bongkahan batu tersebut bermula daripada Rp25,000 rupiah (RM70) hingga Rp500,000 rupiah (RM139) sekilogram.
Turut menarik perhatian, batu akik bukan sahaja digemari warga tempatan malah ia turut digilai rakyat asing termasuk seorang warga Jerman, Ruben Ruppath yang sedang mengikuti program pertukaran pelajar di Kelas XI SMA Unggulan Negeri 17 Palembang. Malah, remaja Jerman itu turut memiliki alat batu giling untuk mengasah batu akik dan telah membuat berbelas perhiasan daripada batu itu sejak empat bulan lalu.
Ruppath yang berasal dari Berlin berkata, dia akan membawa batu akik tersebut sebagai cenderahati untuk ahli keluarganya di Jerman.
“Pada permulaan, saya diajak rakan sekolah ke pusat pembuatan batu akik. Saya hairan mengapa ramai orang ke sana dan kemudian mereka pula hairan mengapa saya kini turut mengasah batu akik,” katanya.
Ruppath mengaku dia menggemari batu perhiasan itu kerana turut dipengaruhi fenomena batu akik yang sedang melanda negara tersebut terutama di Palembang, Padang, Bukit Tinggi, Bandung, dan Jakarta.
“Ternyata, demam batu ini tidak hanya di Palembang dan sehingga sekarang saya menjadikan masa lapang untuk mengumpul batu akik. Saya beli bongkahan batu itu lalu dipotong sendiri di Palembang,” ujarnya.
Anak pertama daripada dua beradik itu turut menyatakan, dia sangat teruja dengan kepandaian masyarakat setempat menjadikan batu akik sebagai barang perhiasan.
Katanya, fenomena tersebut menjadi pelajaran berharga buatnya dalam proses mempelajari budaya dan tingkah laku masyarakat Indonesia.
“Berbeza dengan Jerman, orang di sana lebih suka batu yang ‘berkelas’ untuk dijadikan perhiasan, sementara di sini orang sangat bangga jika pakai batuan asli,” kata Ruppath.
Ruppath kini menjadikan kerja-kerja memotong dan mengasah batu akik sebagai salah satu aktiviti utama dalam hidupnya di Indonesia.
Menurut gurunya, Marwiyah Maya, kegilaan Ruppath ke atas batu akik menyebabkan keluarga angkatnya kini bimbang melihat kesibukan luar biasanya sejak dia memiliki alat pemotong batu itu.
“Ruben ini jika menguruskan batu akik sampai lupa waktu, pernah sampai tidur cuma tiga jam sehari menyebabkan keluarga angkatnya jadi khuatir,” kata Marwiyah.
Sumber: ANTARA
|
|