Merantau Mencari Sebuah Kehidupan Tarikh: 08/12/2016 |
 |
|
OLEH: MOHD SYAIFUL AZIM MUSTAFAH
Meninggalkan kampung halaman dan merantau mencari rezeki di tempat orang bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Banyak pertimbangan perlu dibuat. Banyak juga persoalan-persoalan yang perlu dijawab. Bagaimana dengan keluarga yang ditinggalkan? Apakah penghidupan di rantau orang seindah dengan yang diimpikan? Apakah dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru lagi asing?
Banyak sudah yang aku didengar tentang nasib dan layanan yang diterima oleh warga asing di rantau orang. Sedikit sebanyak agak menakutkan aku. Ada yang terpaksa pulang kerana ditipu agen. Tidak dibayar gaji. Macam-macam lagi yang aku dengar. Tapi aku tetap bulatkan tekad kerana aku yakin dengan ketentuan Allah. Selagi ada usaha, selagi itu lah ada jalan. Aku berpegang pada hakikat itu. Malah itu lah yang diajar oleh kedua orang tua aku selama ini.
Hidup perlu atas usaha sendiri. Jangan terlalu mengharap ihsan dan bantuan orang. Ini lah antara rentetan perjalanan hidup insan yang hanya ingin dikenali sebagai Hassan, anak jati Palembang yang datang merantau ke Malaysia sejak 10 tahun lalu. Tidak mahu gambarnya difoto atas alasan tidak mahu dikenali tetapi sedia memberikan kerjasama untuk berkongsi perjalanan hidupnya sebagai anak rantau. Katanya, ketentuan Allah jua lah yang membawanya datang ke Malaysia. Segalanya-galanya sudah terencana.
“Saya masih ingat waktu menjejakkan kaki ke bumi Malaysia usia saya masih muda. Sekitar 21 tahun. Banyak pengalaman saya kutip di sini. Tempat ini jugalah yang mematangkan saya. Di sini jugalah bermulanya hidup saya yang baharu. Cuba bayangkan, saya tidak ada kenalan di sini. Datang ke sini pun seorang diri. Saya hanya berbekalkan semangat dan pesanan arwah kedua orang tua saya. Saya anak tunggal, tidak punya adik beradik. Segala-galanya saya lalui dan jalani hidup ini secara sendirian,” katanya memulakan bicara.
Menurut Hassan, ketika di Palembang, dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap. Berbekalkan tulang empat kerat dia berkerja sehingga malam untuk menampung kehidupan dan menyara kedua orang tuanya yang sudah uzur. Ayah ketika itu langsung tidak boleh melakukan apa-apa kerja. Matanya sudah kabur. Ibu pula sering sakit-sakit.
“Jadi aku yang harus berkerja. Walaupun ada saudara mara, kami tidak mahu menyusahkan sesiapa. Mereka juga ada keluarga untuk disara. Aku tidak malu mengaku bahawa aku dilahirkan dalam keluarga yang agak susah. Kemiskinan sebenarnya banyak mengajar aku dan membuatkan aku tabah untuk mengubah hidup aku,” katanya.
Setelah ayahnya meninggal, Hassan seperti hilang arah. Jiwanya kacau bila mengenangkan ibunya yang sering sakit-sakit. Terbayang satu persatu di benaknya, apa akan terjadi ada dirinya jika ibunya pula dijemput ilahi. Apa yang ditakutinya terjadi juga. Ibunya meninggal setelah dua tahun pemergian ayahnya.
Memandangkan dirinya tidak punya sesiapa lagi dalam hidupnya, Hassan membulatkan tekad untuk merantau, mencari penghidupan baharu dan mengubah nasib dirinya.
“Tahun ini sudah 12 tahun aku menetap di Malaysia. Aku juga sudah menjadi penduduk tetap sejak lima tahun lalu. Kalau mahu diceritakan perjalanan hidup aku di sini, terlalu panjang. Cukup lah jika aku katakan, Malaysia telah banyak mengubah kehidupan aku. Banyak kerja yang aku lakukan sebelum aku berjaya seperti yang kamu lihat sekarang. Perit, kepayahan, rasa sunyi, rindu pada kampung halaman, aku lalui seorang diri. Tetapi semua itu tidak mematahkan semangat dan tekad aku untuk berjaya dalam hidup,” tambahnya.
Menurut Hassan, kehidupannya mula berubah apabila bertemu dengan sepasang suami isteri rakyat tempatan yang ingin menjadikannya sebagai anak angkat setelah berkenalan hampir setahun dan mengetahui perjalanan hidupnya dirantau orang sebagai anak yatim piatu. Pasangan tersebut lah yang banyak membantu, memberikan modal untuk dia menjalankan perniagaan.
“Dulu saya berniaga sayur dari rumah ke rumah menggunakan motorsikal. Hampir tiga tahun sebelum dibantu oleh kakak dan abang angkat aku. Mereka memberi aku modal untuk membuka kedai runcit. Di sini lah bermulanya kehidupan aku. Daripada seorang yang tidak punya apa-apa, aku ditemukan dengan warga tempatan yang cukup baik hati dan ingin melihat aku berjaya seperti mana orang lain.
“Apa yang saya perolehi hari ini ibarat langit dengan bumi berbanding kehidupan saya di Palembang. Dulu gaji saya lebih kurang RM15 sehari. Itu pun nak dapat banyak itu, kena kerja sehari suntuk. Kalau nak diikutkan memang perit. Tapi aku tabahkan juga kerana terpaksa dan tidak punya pilihan. Kematian kedua orang tua menyuntik satu semangat baru buat aku. Itu lah yang membuatkan aku tekad untuk datang ke sini. Malaysia bagi aku bumi bertuah. Kalau kita rajin berusaha, tidak kenal jemu, pasti kita akan berjaya. Aku telah lalui semua itu dan mungkin ramai lagi warga Indonesia di sini yang berjaya mengubah hidup dan keluarga mereka hasil kemakmuran bumi Malaysia ini,” katanya.
Berlainan dengan Yusof Safrizal, 30 yang berasal dari Padang Lubuh, Padang, Sumatera Barat. Dia yang sudah 10 tahun berada di Malaysia tidak pernah terlintas untuk menjadi penduduk tetap seperti mana kedua orang tuanya. Dia yang memiliki perniagaan menjual pakaian dan kain di Padang tetap ingin pulang satu hari nanti meneruskan dan mengembangkan perniagaannya.
“Saya datang ke sini hanya untuk mencari rezeki. Biarlah ayah dan ibu di sini, kami adik beradik akan tetap tinggal di Padang. Kedai saya di kampung masih beroperasi dan diuruskan oleh adik beradik. Tugas saya di sini adalah untuk mengumpul wang dan bawa balik ke padang untuk kembangkan perniagaan kami,”katanya.
Dia yang menjual buah-buahan di Jalan Raja Alang , Kampung Baru tidak pernah menganggap kehadirannya di bumi Malaysia sebagai orang asing. Selain kedua ibu bapanya yang sudah menjadi penduduk tetap, beliau yang tinggal di Kampung Baru sudah menganggap tempat itu seperti kampung halaman sendiri.
“Di sini ramai warga Indonesia terutama orang Minang. Boleh dikatakan perniagaan di sepanjang jalan ini dikuasai oleh orang Minang. Saya tidak berasa seperti orang asing,” tambahnya.
Ketika ditanya kenapa datang ke Malaysia walaupun sudah ada perniagaan sendiri di Padang, Safrizal menjawab, perniagaan menjual kain tidak menjanjikan keuntungan tinggi kerana terlalu banyak persaingan. Kedatangannya ke Malaysia adalah untuk mengumpul wang untuk dijadikan modal bagi membesarkan dan mempelbagaikan lagi perniagaannya
“Tujuan saya datang hanya lah untuk berkerja. Kumpul duit sebanyak mungkin dan hantar balik. Untuk tinggal dan menjadi penduduk tetap, tidak pernah terlintas. Biar lah ayah dan ibu menjadi orang sini. Kami adik beradik akan tetap tinggal di kampung halaman di Padang untuk mewarisi semua peninggalan orang tua kami,” katanya.
Bagi Mohamad Dion, 20, pemuda asal Medan berketurunan Melayu Deli ini sudah empat tahun berada di bumi Malaysia. Anak kelahiran Pramsamia, Medan ini datang ke Malaysia sebaik sahaja menghabiskan persekolahannya.
“Saya datang ke sini untuk memperbaiki diri. Masa di kampung saya tidak buat apa-apa. Masa banyak dihabiskan dengan kawan-kawan. Saya fikir sampai bila mahu hidup begini. Kebetulan abang mengajak dan saya turutkan sahaja. Bagi saya apa salahnya, sekurang-kurangnya ada pekerjaan dan gaji. Boleh hidup berdikari dan tidak menyusahkan orang tua,” katanya.
Orang tuanya masih tinggal di Medan. Di Malaysia, mereka dua beradik tidak pernah lelah untuk mengumpul duit untuk menampung kehidupan keluarga di kampung. Seperti mana kebanyakan warga Indonesia lain, mereka juga tidak mahu terlalu lama tinggal di sini. Kampung halaman tetap dihati. Lambat laun mereka akan balik kerana pada mereka walaupun hujan emas di negeri orang lebih baik hujan batu di negeri sendiri.
|
|
[Halaman 1 / 2] | 1 || 2 |
[Halaman 1 / 2] | 1 || 2 |
|