 |
|
KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) menggesa peserta industri kewangan Islam dan pasaran halal agar saling berkomunikasi dan mula bekerjasama.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Jamil Bidin berkata sekarang wujud kekurangan kesedaran selain tiada hubungan antara kedua-duanya sedangkan aspek saling memahami diperlukan untuk mereka menyumbang secara signifikan kepada negara dan pasaran global.
"Kefahaman yang lebih baik tentang institusi kewangan dan pasaran halal amat diperlukan," katanya kepada pemberita semasa perbincangan mengenai 'Pembiayaan Sektor Halal: Mengapa Tidak Kewangan Islam', bersempena Forum Kewangan Islam Global, di sini hari ini.
Jamil berkata selaku penyelaras pembangunan industri halal, HDC mendapati hanya 10 peratus daripada 4,400 syarikat halal di Malaysia mendapatkan dana daripada sistem patuh syariah.
Katanya walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia tidak mewajibkan dana daripada kewangan Islam sebagai syarat memperoleh sijil halal, syarikat digalak beralih kepada kewangan Islam sebagai penyelesaian halal sepenuhnya.
Ini mungkin tidak dilakukan segera, tetapi proses peralihan patut berjalan sekarang, katanya, menambah pelabur asing juga wajar diberi pilihan kewangan Islam.
"Ini satu lagi kelebihan kompetitif kerana apabila pelabur datang ke Malaysia mereka juga akan mencari dana atau modal kerja dan pembiayaan perniagaan.
"Kami mahu menghubungkan Malaysia dengan pelbagai hab agar kita dapat melaksanakan lebih banyak perdagangan halal," katanya, menambah HDC sedang bekerja dengan Dubai bagi mewujudkan hab perdagangan halal di sana yang akan turut membabitkan institusi kewangan Islam Malaysia.
-- BERNAMA
|
|