Pusaka adat: Patah tumbuh hilang berganti Tarikh: 14/09/2014 |
BERITA pulangnya ke Rahmatullah Undang Luak Jelebu Ke-15, Datuk Menteri Akhirulzaman Hj. Musa Wahab, 77, beberapa hari lalu hanya menerima sedikit liputan dalam media tempatan. Sebagai salah seorang pemerintah adat di negeri beradat, perihal itu dilihat kurang setimpal dengan kedudukannya sebagai pemegang tampuk adat di wilayahnya khasnya dan di Negeri Sembilan amnya. Sementelahan pula seseorang Undang itu ditakrif sebagai \'pemerintah bersama\' dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di sisi Perlembagaan negeri itu.
Allahyarham Musa yang telah menduduki kerusi Undang Luak Jelebu hampir 34 tahun, merupakan Undang yang paling kanan dalam barisan Datuk-Datuk Undang yang memegang pusaka adat di Negeri Sembilan. Beliau aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan pembelajaran, sifat yang sesuai baginya sebagai seorang bekas guru besar yang aktif. Beliau merupakan salah seorang penghulu adat yang mengambil berat tentang pendidikan adat, hal ehwal budaya dan perimbangan Islam dengan subjek persekolahan yang lain. Pemergiannya barang sudah tentu membawa kesan muram bukan saja kepada penduduk luak Jelebu tetapi juga kepada warga adat Perpatih di Negeri Sembilan.
Dikatakan begitu kerana seseorang Undang itu merupakan \'Pemerintah bersama\' dengan Yang Dipertuan Besar atau co-Ruler di Negeri Sembilan. Setiap seorang daripada Undang Yang Empat di luak Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau adalah tunggak adat di luak masing-masing. Semua tugasan rasmi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan juga mempunyai kuasa-kuasa tertentu di sisi Perlembagaan Negeri Sembilan 1959. Empat orang ketua adat itu yang diberi panggilan sekutu Undang Yang Empat berkuasa tentang hal-ehwal adat dan kesejahteraan budaya Melayu di Negeri Sembilan, di samping menentukan seseorang calon Yang Dipertuan Besar manakala jawatan Di Raja itu menjadi kosong akibat kemangkatan atau pelanggaran syarat. Undang juga merupakan pemutus mana-mana pertelingkahan adat di dalam wilayah atau luak adatnya sendiri.
Dengan kemangkatan Undang Jelebu Ke-15 itu, berulanglah mekanisme memilih ketua adat di luak Jelebu semula. Datuk Menteri Tarmizi Selamat selaku Datuk Menteri Raja Sehari kini telah diumumkan oleh Datuk Ombi bagi pihak Datuk-Datuk Lembaga Delapan sebagai pemangku Undang sehingga seorang Undang yang sesuai dapat dicalon dan diterima sebagai Undang Jelebu yang Ke-16. Perihal ini mungkin memakan masa sekiranya mekanisme pemilihan itu tidak berjalan dengan lancar. Ada ketikanya pada tahun 1967, Jelebu telah tidak berundang hampir dua tahun akibat gagalnya Datuk Menteri Raja Sehari mendapatkan benih yang sesuai.
Mutakhir munculnya konflik pemilihan Undang Jelebu kali kedua ialah semasa Allahyarham Musa mula-mula hendak dilantik sebagai Undang Luak Jelebu pada tahun 1980. Pada masa itu penulis berkhidmat sebagai Menteri Besar yang tiba-tiba terpaksa menghadapi krisis adat di Jelebu ketika itu. Datuk Musa pada masa itu dicadangkan oleh beberapa orang Datuk Lembaga, khasnya Datuk Menteri Osman Raja Sehari yang ketika itu mengetuai Lembaga Adat Luak Jelebu. Beliau dan Datuk Ombi Syed Alwi, pegawai adat nombor dua dalam hierarki adat di Jelebu, berselisih faham tentang siapa yang lebih layak dilantik menjadi Undang Jelebu Ke- 15 susulan kemangkatan Datuk Abu Bakar Maamor Undang Jelebu Ke-14.
Musa (pada masa itu \'Cikgu Musa\') beroleh sokongan Datuk Menteri Osman Raja Sehari yang di sisi adat bertanggungjawab menabalkan calon Undang yang paling sesuai setelah menerima beberapa pencalonan daripada Datuk Ombi, ahli Lembaga Adat yang tanggungjawabnya ialah \"mencari benih\" (calon) yang menurut hematnya sesuai menjadi Undang. Tergolong dalam \'mencari benih sesuai\' itu ialah sifat-sifat sahsiah terbaik yang ada pada seseorang itu, gemar membantu masyarakat, berkelulusan adat yang memuaskan seperti tiada \'cacat-cida\' padanya selain sah mewakili perut atau keturunan keluarga yang layak mengemukakan calon Undang.
Restu
Di Jelebu ada tiga perut berundang yang menentukan siapa layak jadi Undang apabila penggantian diperlukan. Pertama Perut Ulu Jelebu, kedua Perut Sarin dan ketiga Perut Kemin.
Allahyarham Datuk Musa yang mewakili Perut Sarin dicabar kedudukannya di mahkamah. Hujah Syed Zain yang dibantu Datuk Ombi ketika itu menghujahkan bahawa Musa tidak mewakili perut Sarin yang sah lalu mencernakan rentetetan sejarah adatnya. Malang baginya, kerajaan negeri ketika itu memutuskan supaya \'restu\' Dewan Keadilan dan Undang diperolehi. Tuanku Jaafar selaku Yang Dipertuan Besar dan Pengerusi Dewan Keadilan bersetuju memberi restu itu lalu direkodkan. Pada masa sama Kerajaan Negeri terus membayar gaji dan elaun Datuk Undang Luak Jelebu sejumlah RM6,004 pada masa itu. Tindakan restu ini dianggap oleh Mahkamah Persekutuan sebagai endorsmen di samping menyatakan dalam penghakiman bahawa mahkamah tiada hak atau kuasa mencampuri hal ehwal pemilihan adat di luak masing-masing dan dengan restu yang diberikan itu selesailah kes yang diselangi Syed Zain dan rakan-rakannya. Cikgu Musa Wahab pun mulalah melangkah ke alam adat yang memberi kuasa dan pangkat serta peranan tradisional kepadanya.
Oleh kerana kuasa pemutus \'menanam benih\' pada tahun 1980 ada pada Datuk Menteri Osman Raja Sehari, beliau mendapati Musa dari Perut Sarin lebih berkelayakan, beliau telah tidak menerima Syed Zain, calon yang dikemukakan oleh Datuk Ombi selaku pencari benih kepada Datuk Menteri yang bertindak selaku pemutus pencalonan. Akibat perselisihan itu Jelebu terpaksa menghadapi krisis adat hampir dua tahun (1980-1982).
Pengganti Musa akan datang ini ialah calon Undang daripada perut Kemin. Salah satu kelayakan utama ialah seseorang calon Undang itu mesti menerima pengiktirafan anak buah dan ibu bapak serta seka keluarga \'Biduanda\'. Dengan pengertian lain seseorang calon Undang mesti berdarah orang asli sebelah ibu manakala punca bakanya daripada keturunan Minangkabau. Di keempat-empat luak berundang Negeri Sembilan inilah asasnya.
Zaman beredar, pusaka bergilir - realiti kata-kata adat ini menelusuri kepada keadaan kini yang dikuasai Datuk Menteri Tarmizi Selamat setelah beliau diisytiharkan oleh Datuk Ombi menjalankan tugas Yang Teramat Mulia Datuk Undang Luak Jelebu selama dan selagi benih tak terdapat, dan benih tak ditanam.
Tempoh yang terlibat untuk menentukan calon Undang yang terbaik mungkin menelan masa enam bulan atau dua tahun. Datuk Menteri Raja Sehari berhak kini ke hulu ke hilir sebagai pemangku Undang, sesuai dengan Perlembagaan adat tempatan serta dokongan Perkara 14 Perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.
Tan Sri Dr. Rais Yatim
|
[Halaman 1 / 1] | 1 |
[Halaman 1 / 1] | 1 |
|